Tahun 2004
SMKSS
Terengganu
xxxx
Hari ni semua cikgu terpaksa menghadiri mesyuarat. Jadi seperti biasa, semua pelajar dalam kelas masing-masing dengan hal sendiri.
Ada yang berbual-bual sesama mereka, ada yang ketawa, ada yang mengulangkaji pelajaran dan ada juga yang membuat hal sendiri.
Aku pula dari tadi mengisi masa aku dengan melukis. Selain membaca, aku juga suka melukis. Aku sudah biasa sendiri, aku tiada kawan rapat untuk menjadi teman berbual. Kawan rapat aku sebelum ini telah berpindah ke kelas yang lain.
Aku lebih selesa sendiri. Aku dikenali sebagai pelajar yang pendiam di dalam kelas, bukanlah aku tidak mahu bercakap tapi kadang-kadang bila aku bercakap tiada siapa yang sudi mendengar.
Aku juga tiada kawan yang ramai. Aku faham, kawan-kawan mungkin tak biasa dengan aku yang jarang ke sekolah. Kawan-kawan tahu aku sakit, tapi mereka tak faham tentang penyakit aku. Bila aku sebut sahaja SLE, mereka akan menunjukkan reaksi wajah yang pelik.
Mungkin juga mereka takut dengan aku, takut penyakit SLE ini berjangkit sedangkan penyakit ini tak berjangkit langsung.
Hmm.. Aku rindu sahabat aku, kalau dia ada tentu dia jadi teman aku. Dia sahaja yang faham..
“Ehem ehem” tiba-tiba ada satu suara mematikan lamunan aku
“Jauh termenung? Teringat siapa tu?”
Aku terkejut. Fad rupa-rupanya.. Hmm malas betul aku bercakap dengan budak lelaki yang paling nakal dalam kelas aku ni. Dia seorang sahaja yang nakal.. Mesti ada sahaja kata-kata dia yang menyakitkan hati aku.
“Taklah. Mana ada teringat sesiapa.. “
Cepat-cepat aku simpan alat tulis dan buku lukisan aku di bawah meja. Bimbang pula diambil si Fad.
“Yer la tu..”
“Kau ni aku tengok asyik duduk seorang je.. Dah la jarang datang sekolah, nak kata sakit tapi tembam mengalahkan kuih donut!”
“Aku ada terdengar cikgu kata kau sakit. Orang sakit kan cengkung.. Tapi muka kau bulat.. doraemon pun kalah! Hahahaha!”
Aku diam, aku tahu Fad memang sengaja nak menyakitkan hati aku. Aku malas nak melayan, nanti semakin menjadi-jadi dia mengejek aku.
“Kenapa diam? Betul la kan, kau bukannya sakit. Buat-buat sakit.. Pastu sengaja tak datang kelas, kan?!” Fad mengetuk kuat meja aku.
Aku cuba sabar walaupun dalam hati aku pedih sangat dengan tuduhan Fad.
Aku tak menjawab, aku diam sahaja. Aku faham perangai budak-budak nakal memang macam ni, makin dilayan makin menjadi-jadi.
“Heyy! Kau bisu?” Fad tiba-tiba memandang aku dengan wajah yang serius.
“Taklah” jawab aku sepatah.
“Tahu pulak bercakap doraemon ni.. Aku ingat bisu!” Fad menyambung gelak.
Tiba-tiba Kamal yang melihat aku dikacau, menegur kelakukan Fad pada aku.
“Hoiii fad kau buat apa tu? Kau jangan cari pasal..”
Fad hanya menjelirkan lidah seperti tak bersalah. Dia makin seronok pula mengacau dan menyakitkan hati aku. Mentang-mentanglah aku diam.
“Jadi memang betul la kau ni tak sakit.. Pura-pura sakit je kan. Aku tahu.. “ Fad memandang sinis.
Aku geram dengan tuduhan Fad, dia ingat aku sengaja tak datang ke sekolah..
Orang ramai mungkin menganggap aku berpura-pura sebab aku dilihat normal, biasa sahaja dan sama macam orang lain. Tapi orang tak pernah nampak keadaan aku bila aku sakit.. Tuhan sahaja yang tahu.
Wajah aku pula semakin membulat kesan steroid yang aku ambil. Setiap kali SLE aku aktif, doktor akan meningkatkan dos steroid untuk mengawal SLE.
“Saya kat hospital, bukan saya sengaja ponteng kelas.. ”
Akhirnya aku bersuara.
“Aku tak percayalah.. Kalau betul sakit, aku tengok kau biasa je.. Kau pura-pura je kan…” Fad bercakap dengan tanda mengejek.
“Mengaku jelah!”
Hati aku sakit. Aku berjuang macam nak mati melawan sakit di hospital, tapi aku dikatakan berpura-pura sakit?
Tiba-tiba akurasa teramat geram..
“Awk ni kenapa Fad? Apa yang awk tak puas hati dengan saya? Saya sakit ke, saya nak mati ke apa masalah awak? Saya ada susahkan mak bapak awak ke?!” suaraku menggeletar menahan geram, mataku terasa hangat tapi aku tahankan sahaja.
“Heyy ada orang marah.. Hahahaha!” Fad menjerit mengejek..
Kawan-kawan kelas bersorak..
Air mataku mengalir jua.. Mata aku basah, aku sedih dipermainkan. Aku diperlakukan seperti aku tak ada perasaan... Aku cuba sabar walau diejek, dikatakan bukan-bukan. Aku cuba tabah namun hati aku begitu pedih.
“Awak melampau Fad! Awak jahat!”
“Kenapa awak suka sakitkan hati saya? Awak nak sakit macam saya ke? Percayalah Fad walau satu hari awak berada di tempat saya, awak takkan tahan.. Awak takkan mampu tahan.. Takkan mampu!!” aku menjerit.
Fad tergamam
Satu kelas terdiam, semua mata memandang tepat ke arah aku.
Aku terlalu sedih, hati aku terluka..
Aku mengesat air mata dan terus berlari keluar dari kelas.
Aku ingin lari jauh..